MUZIK yang kuat bergema dari kelab-kelab malam di sekitar Legian, Kuta di Pulau Bali cukup menggetarkan dada dan telinga. Premis-premis yang membarisi jalan sempitseperti kafe, restoran dan bistronya menggamit tetamu.
Turut memeriahkan lagi laluan di sekitar Legian adalah kedai-kedai yang menjual cenderamata, pakaian, beg, kasut dan barangan kraf.
Di kaki-kaki lima premis, anak-anak muda terkinja-kinja mengikut alunan lagu yang dimainkan di kelab-kelab malam, walaupun kenderaan bertali arus menyusuri jalan itu.
Tidak kurang juga ramai yang menjadi penonton suasana ini, di ruang-ruang kosong dan tepi jalan sambil cuba menolak lembut ajakan wanita-wanita berpakaian anggun dengan solekan tebal yang menawarkan pas-pas masuk ke premis hiburan.
Kami yang menjejakkan kaki buat pertama kali di Pulau Bali, dalam kebingitan dan kerancakan suasana tidak jauh dari Ground Zero, terbayang tragedi pengeboman yang mengorbankan 202 orang. Pada masa yang sama, lebih 100 cedera di Sari Club dan Paddy’s Cafe serta kawasan sekitarnya pada 12 Oktober 2002.
“Di tanah kosong yang berpagar hijau itu tempatnya,” kata Ketut, pemandu pelancong kami ketika menurunkan kami di monumen korban kejadian itu pada awalnya, yang dibina hanya beberapa meter di seberang jalan kelab Sari.
Kebetulan hotel yang kami diami, White Rose terletak kurang 100 meter dari simpang tembok peringatan itu. Kami berjalan kaki setiap malam untuk mencuci mata dan mengunjungi kedai-kedai sepanjang Jalan Legian ini.
Hotel itu dibuka pada tahun 1997. Lima tahun kemudian, ia turut menanggung kerosakan akibat letupan bom itu.
“Pada masa itu tingkap-tingkap hotel ini pecah. Seorang jurutera yang menginap di hotel ini kehilangan isterinya yang sedang dalam perjalanan menjemputnya. Dua bulan isterinya tidak ditemui, akhirnya dia dimaklumkan bahawa isterinya adalah salah seorang daripada mangsa letupan.
“Masa kejadian itu jalan sesak dan mungkin juga ada letupan di jalan raya,” kata seorang petugas wanita White Rose Hotel.
White Rose diubah suai pada tahun 2010. Di sebalik keindahan landskap dan suasananya yang mendamaikan, kenderaan dan tetamu yang keluar masuk wajib melalui pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak keselamatan hotel. Di palang pondok pengawal tertulis larangan membawa masuk senjata dan bunga api.
Namun langkah kawalan itu sedikit pun tidak mencacatkan keindahan di Kuta khususnya dan Bali sebagai pulau pelancongan popular.
Deretan kedai di jalan sempit Legian tidak sunyi dengan pengunjung, baik siang mahupun malam.